Saturday, December 12, 2009

Hentikan polemik BTN, saya akan putuskan: Najib

Hentikan polemik BTN, saya akan putuskan: Najib

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak mahu semua pihak termasuk Menteri Kabinet supaya tidak lagi memanjangkan polemik berkaitan Biro Tata Negara (BTN).

Perdana Menteri berkata, beliau sendiri akan menilai dan memutuskan modul BTN itu kelak.

"Saya tidak mahu memanjangkan lagi polemik BTN ini. Saya anggap semua dah bagi pandangan dan bagi pendapat. Macam-macam pendapat, macam-macam pendapat sudah pun diluahkan, cukuplah setakat ini.

"Berilah peluang untuk saya menilai modul BTN bersama-sama pegawai BTN dan kerajaan akan buat apa-apa keputusan untuk menjamin bahawa kursus BTN ini selaras dengan dasar-dasar kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Sumber Pekan, di sini

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas polemik berkaitan modul BTN yang mendapat pelbagai pandangan berbeza daripada menteri dan timbalan menteri kabinetnya serta pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya pandangan peribadinya berkenaan modul BTN itu, Najib bagaimanapun tidak menolak kemungkinan modul itu perlu diubah agar bersesuaian dengan tuntutan zaman.

"Saya nak tahu apa kandungan modulnya, kedua saya nak tengok kursus BTN ini dalam konteks zamannya. Mungkin ada kandungan itu sesuai dengan zaman tertentu dan adakalanya bila zaman berubah tuntutan berubah.

"Maka sama ada kursus BTN ini dapat memperlihatkan tuntutan ke arah perubahan, jadi apa-apa kursus termasuk kurikulum sekolah pun kandungannya tidak boleh statik kandungannya, mesti berubah ikut zaman. Jadi itulah menunjukkan kursus kita ini sentiasa dinamik sentiasa relevan," katanya.

Najib menegaskan sekiranya berlaku perubahan kepada modul itu nanti, bukanlah bermakna beliau menolak apa yang telah dilakukan BTN sebelum ini.

"Apa yang dilakukan oleh BTN kita tetap menghargai tetapi bila zaman persekitaran berubah kita mesti pastikan kandungan juga sesuai dengan tuntutan zaman dan era yang baru," katanya.

Ditanya bila beliau akan memutuskan bentuk modul itu, Najib berkata beliau akan berjumpa dengan pegawai BTN selepas pulang dari luar negara nanti.

Mengulas mengenai penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Kabinet esok, Najib berkata ia adalah sebagai pengukur prestasi menteri-menteri kabinetnya.

"Esok ini kita akan bincang dan kita akan menghalusi kandungan yang ada kaitan terutama sekali dengan 6 NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) yang saya telah umumkan.

"Ini menunjukkan bahawa pendekatan kerajaan menggunakan NKRA dan KPI ini bukanlah satu retorik politik atau jadi satu omong kosong, tapi kita benar-benar serius dan komited.

"Esok hari Ahad pun kita kerja ini menunjukkan tahap komitmen kerajaan Malaysia adalah sangat-sangat tinggi untuk menggunakan pendekatan ini sebagai satu kaedah perubahan yang begitu besar lagi berkesan," katanya.

Ditanya sekiranya terdapat menteri yang tidak mencapai tahap prestasi yang diharapkan, Najib berkata: "Kita boleh perbaiki prestasi ini, ada masa lagi dan (kalau) saya tak tegur pun, rakyat akan tegur."

Ditanya harapannya esok dalam menilai prestasi KPI itu, Najib berkata:

"Ini sebagai pengukur prestasi, maknanya setiap menteri malah kerajaan pada keseluruhannya akan diukur pencapaian kita atau pun sebaliknya dan kita akan tahu bahawa sejauh mana keberhasilan.

"Kita akan lebih terarah, lebih fokus kepada kerja utama kita, yakni untuk melakukan pentadbiran kerajaan secara berkesan tapi keberkesanan itu bergantung kepada cara kita mentadbir yang lebih terarah dan lebih fokus lagi.

"Dengan sistem ini, maka kita tidak dapat lari daripada prinsip kebertanggungjawaban atas apa yang dianggap bidang tanggungjawab kita. Yang akan menilai kita pada kesudahannya ialah rakyat." - Bernama

SMM ada bukti rakaman BTN ‘berbau perkauman’

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 12 Dis: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan mendedahkan rakaman suara didakwa 'berbau perkauman' bagi mengukuhkan lagi dakwaan kursus Biro Tatanegara (BTN) sememangnya mempunyai unsur-unsur 'doktrinisasi perkauman dan politik'.

Pengerusinya, Shazni Munir Ithnin berkata, SMM mempunyai banyak bukti dalam bentuk rakaman dan akan mendedahkannya kepada umum sedikit masa lagi.

“Kami (SMM) mempunyai banyak rakaman, yang nyata membuktikan bahawa aktiviti dan program dalam BTN sememangnya mempunyai unsur-unsur perkauman dan doktrin politik,” ujar pada satu sidang media semalam..

Sidang media tersebut bagi membantah kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berhubung ketegaran beliau supaya kursus BTN dikekal.

Rakaman tersebut dimaklumkan diambil daripada mahasiswa yang mengikuti BTN sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara dan layak mendapat biasiswa kerajaan.

Hadir sama pada sidang media berkenaan ialah pimpinan bersama SMM, Hilman Idham yang juga Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan
Abdullah Omar Muhamad Fuad, Presiden Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA).

Kumpulan mahasiswa berkenaan berpendirian tidak menolak sebarang aktiviti bentuk membangunkan semangat patriotisme, nasionalisme dan jati diri khususnya di kalangan mahasiswa dan anak muda namun menolak sekeras-kerasnya “doktrinisasi perkauman dan politik”.

Mereka juga dengan tegas memboikot kursus berkenaan daripada disertai mahasiswa dalam masa yang sama, menggesa kerajaan menarik semula syarat untuk menyertai program BTN bagi pelajar dan mahasiswa yang mendapat tajaan biasiswa pelajaran.

“Kalau berani, dedah sendiri modul, silibus dan program yang ada dalam BTN, tak perlu pihak lain tolong buktikan,” tambah Shazni lagi.

Dalam pada itu, mengulas pertelingkahan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dan Tun Mahathir sehingga tokoh tersebut digelar ‘bapa segala perkauman’, Shazni ada jawapan pendirian tersendiri.

“Saya setuju kenyataan (Tun) Mahathir bahawa UMNO ialah (sebuah) pertubuhan rasis, kalau (Tun) Mahathir jadi ‘Bapa Perkauman’, (Datuk) Nazri jadi ‘Anak Perkauman’, isunya seluruh polisi parti tersebut (bersifat) perkauman,” ujar beliau.

Kerajaan bazirkan RM550 juta untuk BTN

Kerajaan bazirkan RM550 juta untuk BTN
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 12 Dis: Ahli Jawatankuasa Lajnah Ekonomi PAS Pusat, Wan Ubaidah Wan Omar menyelar Kerajaan Pusat yang tidak berhati-hati dalam menyalurkan peruntukan khususnya dalam program Biro Tata Negara (BTN).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang berhubung kos BTN yang berjumlah RM550 juta dalam tempoh 10 tahun.

"Untuk kos yang sebegitu besar, kita tidak melihat sebarang kesan yang efektif dan konstruktif terhadap peserta yang menghadirinya," katanya kepada Harakah.

Tegasnya, program yang berbentuk 'doktrinisasi' itu seharusnya menanamkan rasa cintakan negara dan bukannya cintakan Umno-BN.

"Malangnya, dengan kos yang telah 'dihanguskan' itu kerajaan masih perlu menghadapi masalah gejala sosial yang semakin meningkat apabila kes dadah, Aids, pembuangan anak, dan sebagainya bertambah setiap tahun.

"Pihak penganjur sepatutnya memastikan kandungan BTN yang telah dilaksanakan sebelum ini komprehensif dan bukannya menghancurkan golongan belia yang merupakan aset negara," kata Wan Ubaidah yang juga Bendahari Dewan Muslimat PAS Pusat.

Katanya, beliau tidak terkejut dengan pendedahan para peserta yang pernah menghadiri kursus ini yang mendakwa pihak penganjur mendoktrin minda mereka agar sayang pada Umno-BN selain mengugut mereka agar tidak menyokong selain parti itu.

"Bagaimana hendak melahirkan golongan yang profesional jika pemikiran dikongkong serta ditakutkan? Mungkin sebab itulah gejala rasuah kian berleluasa kerana ramai pengampu yang dilahirkan kursus BTN itu," ujarnya.

Oleh yang demikian, beliau yang juga Exco Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan mengesyorkan agar kos tersebut lebih baik disalurkan bagi membantu pembangunan rakyat termiskin dan infrastruktur kawasan yang memerlukan.

Dalam perkembangan yang sama, isu BTN terus mendapat perhatian akhbar-akhbar berbahasa Cina apabila akhbar China Press pada Selasa lalu menyiarkan artikel bertajuk 'Liew Chin Tong dedah peruntukan RM74 juta untuk BTN'.

Menurut akhbar itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera mendakwa, BTN mendapat peruntukan sebanyak RM74 juta pada tahun ini dan peruntukan itu lebih RM4 juta berbanding peruntukan parlimen iaitu RM70 juta.

Chin Tong mendakwa, jumlah itu terlalu banyak dan sangat 'memeranjatkan' kerana ia semata-mata untuk menanam fahaman perkauman.

Kata beliau lagi, menurut Bajet BTN 2010 itu, ia akan mengambil 224 pekerja tetap tahun depan dan penambahan itu tidak sepatutnya berlaku kerana BTN kini bermasalah.

"Berbanding peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM), bajet untuk parlimen sangat sedikit," kata ahli parlimen itu yang turut membandingkan bajet untuk JPM dan parlimen secara panjang lebar.

Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dalam http://blog.limkitsiang.com menyelar kerajaan dengan mendedahkan perbelanjaan BTN berjumlah RM550 juta dalam tempoh 10 tahun.

"BTN telah membelanjakan sebanyak RM 550 juta dalam tempoh 10 tahun sejak tahun 2000 sehingga 2009 dan ia telah mencetuskan sentimen perkauman sehingga menyebabkan ramai para cendekiawan lari ke luar negara."

Berdasarkan belanjawan tahunan untuk tempoh 10 tahun terakhir yang berjumlah RM548 juta, berikut adalah perincian kos tersebut mengikut tahun.

Bagi tahun 2000, kira-kira RM28,928,500 dibelanjakan manakala setahun selepas itu, tahun 2001 sebanyak RM27,172,300 pula dibelanjakan. Kos tersebut meningkat kepada RM34,199,700 pada tahun berikutnya dan terus meningkat lagi pada tahun 2003 kepada RM35,620,163. Kos tersebut meningkat lebih daripada sekali ganda iaitu RM86,165,889 pada tahun 2004 namun mengalami sedikit pengurangan iaitu RM68,160,330 pada tahun selepasnya.
Pada 2006, kos BTN berkurang lagi kepada RM43,097,076 tetapi bertambah kepada RM74,339,400 pada tahun lalu iaitu RM76,348,700. Bagaimanapun, pada tahun ini kos nya berkurang sedikit tetapi masih lagi pada angka yang besar iaitu sebanyak RM74,023,100.

Menurut Belanjawan 2010, kira-kira RM62.5 juta diperuntukkan untuk tujuan Kursus BTN.

"Ia melibatkan sejumlah wang yang besar. Bagaimana mungkin wujud justifikasi untuk membelanjakan peruntukan besar untuk sebuah agensi bagi melaksanakan kesinambungan agenda yang bertentangan dengan semangat perpaduan bagi memecah belahkan rakyat Malaysia kepada perkauman, sepertimana yang dinyatakan beberapa pemimpin pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam baru-baru ini,"

Terdahulu, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), Mohd Ridzuan Mohamad menyifatkan Kursus BTN sebagai 'tidak sesuai' yang menyuntik sentimen perkauman dan tidak membantu melahirkan kepimpinan dalam persatuan pelajar.

Selain itu, ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Hisyamuddin Che Ali berkata Fakulti Pengajian Islam mengadu bahawa sentimen perkauman sememangnya diajar pada kursus-kursus BTN dengan memaklumkan orang Cina merupakan pendatang yang dibawa masuk ke negara ini.

Kerajaan perpaduan

ARKIB : 05/06/2009
Kerajaan perpaduan

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 4 Jun – Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi hari ini menyeru golongan ulama supaya sentiasa berusaha meyakinkan ahli-ahli parti terhadap idea-dea baru yang dicetuskan oleh pucuk pimpinan, contohnya pembentukan kerajaan perpaduan.

Katanya, ketika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan idea tersebut, sepatutnya ulama adalah golongan utama yang menjalankan penyelidikan dan melihat sejauh mana idea ini tersurat dalam lipatan sejarah.

‘‘Selepas sedikit kajian dibuat, didapati Afrika Selatan dan Indonesia adalah antara negara yang awal mengamalkan konsep negara perpaduan selepas United Kingdom pada suatu masa dahulu selepas Perang Dunia Pertama.

‘‘Penjelasan dari perspektif syarak yang digabungkan dengan pendapat cendekiawan politik semasa akan dapat membantu mengukuhkan idea Presiden yang juga seorang ulama. Ini sekadar contoh apa yang berlaku pada sesi lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas, di sini hari ini.

Mohamed Iraq berkata, sebagai sebuah dewan yang tinggi dalam Pas, golongan ulama perlu mengikuti perkembangan dalaman parti dan seterusnya membantu kepimpinan dalam mengeluarkan, mempromosikan dan mempertahankan idea-idea yang dikemukakan oleh kepimpinan parti.

Selain itu juga, Mohamed Iraq meminta ulama dalam parti itu supaya membuka minda dan memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang dapat diselaraskan dengan tuntutan agama untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

Katanya, golongan ulama juga perlu mendekatkan diri dan bertukar pandangan dengan golongan profesional seperti ahli ekonomi, tokoh undang-undang, pakar teknologi dan ahli politik bagi meningkatkan pengetahuan dan kecekapan mereka untuk mentadbir.

‘‘Ini adalah kerana ada ulama yang tinggi ilmu agamanya tetapi kurang dari segi kemampuan pentadbiran atau memahami isu semasa.

‘‘Ulama tidak boleh lari daripada sejarah dan situasi kemasyarakatan. Kalau dapat, majlis-majlis wacana antara ulama dan golongan profesional hendaklah diadakan dengan lebih kerap,” katanya.

Beliau mengingatkan anggota parti itu supaya taat kepada keputusan yang dibuat oleh pimpinan parti selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran al-Quran dan hadis.

‘‘Jangan kita tertipu dan dipermainkan oleh nafsu kita sehingga mengutamakan kepentingan peribadi, keperluan semasa dan andaian kita sahaja sehingga prinsip taat tidak terlaksana,” katanya.

Mohamed Iraq berkata, perbezaan pendapat sememangnya dibolehkan dalam perkara furu’ (cabang) tetapi selepas sesuatu keputusan dibuat, tiada pilihan lagi kecuali taat dan patuh kepada keputusan itu, walaupun mungkin bertentangan dengan pandangan sendiri.

Kerajaan perpaduan, negara tanpa pembangkang

Kerajaan perpaduan, negara tanpa pembangkang
Roslan Shahir
Mon | Mar 02, 09 | 10:24:54 am MYT

Seorang wartawan dari portal berita Mandarin mohon saya ulasan berkenaan apa yang dikatakan "unity government" yang dicadangkan oleh Presiden PAS. Begitu juga seorang penyokong tegar PAS berbangsa Tionghua dari Kelantan, minta penjelasan adakah ini bermakna PAS dan Umno akan bergabung dan mengadakan hubungan kerjasama politik.

Seorang wartawan dari portal berita Mandarin mohon saya ulasan berkenaan apa yang dikatakan "unity government" yang dicadangkan oleh Presiden PAS. Begitu juga seorang penyokong tegar PAS berbangsa Tionghua dari Kelantan, minta penjelasan adakah ini bermakna PAS dan Umno akan bergabung dan mengadakan hubungan kerjasama politik?

Ternyata yang mereka maksudkan itu adalah cetusan gagasan baru yang cuba dilontarkan oleh Dato� Seri Tuan Guru Presiden PAS. Ia bermula semasa beliau membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Parlimen dan diikuti dengan temuramah khas bersama Malaysian Insider dan akhbar Siasah di bangunan Parlimen.

Gagasan baru ini tidak sekadar melibatkan Umno dan PAS malah lebih besar lagi ia mencadangkan kerjsama politik secara "total" melibatkan semua pemain-pemain dalam gelanggang politik tanahair . Beliau mencadangkan sebuah kerajaan tanpa pembangkang yang menyatukan bukan sahaja orang-orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Mendakap realiti semasa yang menampakkan suasana muram dan mencemaskan samada dari perspektif ekonomi maupun politik, maka demi kepentingan rakyat dan Negara Tuan Guru mencadangkan agar semua pihak mengenepikan perbezaan dan meredakan perbalahan, duduk semaja atas satu pentas dan melahirkan sebuah kerajaan perpaduan atau "unity government" yang akan melihat semua parti bersatu membentuk satu kerajaan demi rakyat dan Negara.

Di dalam perbahasan beliau di Dewan Rakyat itu beliau menyebut:

"Pendekatan dalam mewujudkan perpaduan ini mestilah memenuhi segala ciri dan sifat fitrah naluri yang ada dalam diri manusia itu sendiri. Manusia bukan sahaja boleh disatukan sebagaimana menyatukan batu-bata dalam mendirikan bangunan, kayu yang mendirikan perabot tidak boleh disatukan begitu sahaja kerana manusia bukan sahaja jasad, mereka mempunyai hati perut dan perasaan. Dengan sebab itu pendekatan yang perlu diambil dalam mewujudkan perpaduan mestilah merangkumi segala aspek yang ada dalam naluri kejadian manusia itu sendiri."

Dalam suasana politik hari ini ia mungkin sesuatu yang sukar difikirkan namun jika kita semua meletakkan kepentingan Negara di hadapan, pembelaan nasib dan kebajikan rakyat agenda utama kita, maka tidak mustahil cadangan ini dapat dilaksanakand engan syarat semua pihak jujur dan ikhlas.

Mengapa cadangan ini perlu dipertimbangkan?

Dari sudut politik kita melihat pasca PRU ke 12 menampakkan perubahan besar ke atas lanskap politik tanahair. BN menang dan mengekalkan kuasa diperingkat Pusat namun kehilangan majoriti duapertiga di Dewan Rakyat. Pakatan Rakyat pula berjaya menundukkan BN di lima buah negeri di Semenanjung Malaysia walaupun mereka kekal berkuasa di tujuh negeri lain (Sarawak tiada pilihan raya negeri).

Rentetan lanskap baru ini rupa-rupanya mencetuskan pula beberapa insiden politik yang tidak menampakkan kestabilan dan meyakinkan rakyat. Perebutan kuasa terus menerus berlaku sehinggakan pihak istana turut terlibat dan terbabit secara langsung.

Ini suatu fenomena yang baru dan rakyat semakin resah dan cemas mengikuti perkembangannya.

Tuan Guru melihat perkara ini tidak wajar dibiarkan berlarutan kerana ia bakal mengundang perbalahan dan perpecahan yang lebih serius yang akhirnya bakal merugikan rakyat dan Negara.

Kemudian dari sudut ekonomi kita masing-masing sedar betapa suasana ekonomi global kini begitu meruncing dan kegawatan besar di Amerika Syarikat dan Eropah bakal singgah dan mempengaruhi ekonomi Negara kita. Kita masing-masing bertanggungjawab mempertahankan Negara kita dari ancaman ekonomi ini dan sama-sama perlu menyatukan idea dan fikiran untuk meminimakan impaknya nanti ke atas rakyat dan Negara.

Kerana itulah, demi mengelakkan krisis yang lebih besar dari sudut politik dan ekonomi, maka pilihan yang ada bagi kita yang perlu difikirkan secara serius oleh semua pihak adalah ke arah "Negara tanpa pembangkang" ini.

Bagaimana ia mahu digerak dan dilaksanakan, maka kita serahlah pada pucuk piminan tertinngi semua parti agar berani tampil ke hadapan untuk menyahut pelawaan ini dan memikirkan penyelesaian yang terbaik buat rakyat dan Negara.

Kita mendoakan agar semua pihak memikirkan idea ini dan jika boleh bersama-sama bergerak ke arah perlaksaannya. Ia bukan sekadar baik buat PAS atau Umno tetapi sebenarnya akan baik buat BN dan PR dan lebih penting lagi buat semua rakyat Malaysia yang dahagakan kestabilan dan perpaduan itu.- azm

(Roslan Shahir bin Dato' Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar Presiden) _

Perpaduan Antara Kerajaan Ya, Antara Parti Tidak – Tuan Guru Nik Aziz




Kota Bharu, 27 Julai 2009. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau telah mahukan perpaduan dan kerjasama diantara UMNO dan PAS.

Ketika bercakap kepada PAS TV pagi ini di pejabatnya, Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau mahukan Barisan Nasional menunaikan tanggungjawabnya sebagai Kerajaan Pusat seperti yang diamanahkan dan atas dasar itu beliau bersedia mengetuai usaha menjalinkan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat.

“Saya usulkan hubungan dua kerajaan (Negeri dan Pusat) dipulihkan sesuai dengan semangat federalisme,” kata Nik Aziz.

Semangat Federalisme
Menteri Besar Kelantan itu menegaskan apa yang beliau mahukan ialah Barisan Nasional menjunjung semangat federalisme seperti yang diterima pakai dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Persekutuan Malaysia.

Kelantan adalah salah satu negeri yang membentuk persekutuan tersebut dan hak Kelantan terjamin didalam perlembagaan. Bagaimanapun sejak Kelantan kembali ditadbir oleh PAS bermula 1990, Barisan Nasional sebagai Kerajaan Persekutuan telah menyekat hak-hak Negeri Kelantan dalam banyak aspek.

Tindakan diskriminasi dan pelbagai tekanan bersikap politik ke atas negeri-negeri yang tidak ditadbir oleh Barisan Nasional adalah sama sekali tidak mengikut semangat federalisme. Tindakan sebegini telah berjaya menumbangkan kerajaan PBS di Sabah tetapi tidak di Kelantan.

Selepas pilihanraya umum ke 12 bila 5 negeri di Semenanjung Malaysia tidak lagi ditadbir Barisan Nasional, pihak Kerajaan Persekutuan tidak insaf dengan penolakan rakyat terhadapnya sebaliknya semakin galak menyalahgunakan kedudukannya sebagai Kerajaan Persekutuan untuk menumbangkan negeri-negeri tersebut secara tidak demokratik.

Kerajaan Negeri Perak berjaya ditumbangkan pada Februari 2009 dan kini Barisan Nasional menggunakan jentera-jentera Kerajaan Persekutuan untuk menumbangkan Kerajaan Negeri Selangor.

Kerjasama Negeri dan Persekutuan penting
Sehubungan dengan itu menurut Tuan Guru, intipati kehendaknya ialah memperkasakan semula hubungan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri dan Persekutuan dipilih oleh rakyat yang keluar membuang undi dengan demikian ia harus membelakangkan soal parti dan mengutamakan hak rakyat dalam pentadbirannya.

Dari sudut Negeri Kelantan, Nik Aziz melihat banyak isu yang tidak diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan seperti isu tuntutan royalti, isu geran kewangan persekutuan kepada negeri, isu projek pembangunan persekutuan kepada negeri dan sebagainya, “sebab itu saya nak pulihkan hubungan ini,” kata Nik Aziz.

“Ini bukan urusan parti, saya tak minat nak pulih soal parti sebab itu isu lain,” tegasnya.

Mencabar media kemukakan bukti
Menurut Nik Aziz, beliau tidak pernah sekali-kali berganjak daripada pendiriannya sebagai Mursyidul Am PAS bahawa kerjasama antara parti UMNO dan PAS tidak perlu diadakan bahkan beliau tidak setapak pun berganjak dari tentangannya terhadap gagasan Kerajaan Perpaduan.

“Itu mainan UMNO, bukan datang dari PAS”, tambahnya.

Dengan kalimah itu, Nik Aziz pagi ini mencabar semua wartawan akhbar dan wartawan penyiaran yang hadir di dalam sidang-sidang medianya beberapa hari kebelakangan ini untuk membuktikan menerusi rakaman audio atau video bahawa beliau mengusulkan kerjasama UMNO-PAS.

Hikayat Laila dan Majnun
Menteri Besar Kelantan itu merumuskan UMNO didalam keadaan amat terdesak dan menyamakan sikap UMNO terhadap PAS seperti Hikayat Laila dan Majunun.

“Nak sangat bersama, sampai kalau orang dah tak mau pun dia nak jugak, jadi boleh tulis nama atas pasir pun jadilah,” kata Tok Guru.

“Sebab tu UMNO dok suruk media ini tulis soal perpaduan soal kerjasama macam cerita Laila Majnun,” tambahnya lagi.

Nik Aziz juga menegaskan segala-galanya bermula selepas majlis perlancaran Fiesta Kelantan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada hari Jumaat lepas apabila Menteri Besar Kelantan itu duduk semeja dengan Dato’ Mustapha Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan juga Ketua Perhubungan UMNO Kelantan.

Selepas majlis tersebut, kedua-dua mereka menghadiri sidang media.

“Dalam sidang media itu, saya kata Kerajaan Persekutuan kena berbaik semula dengan Kerajaan Negeri, saya akan terus usahakannya,” kata Nik Aziz lagi.

“(Dato’) Mustapha Mohamed yang duduk bercakap pasal nak jalin hubungan antara parti (UMNO dan PAS), saya bercakap pasal Kerajaan,” tegasnya.

Nik Aziz turut berkata beliau tidak pernah serik walaupun sudah hampir 19 tahun berusaha untuk memulihkan hubungan Persekutuan dengan Negeri dan beliau tidak pernah berhenti berusaha ke arah itu demi kepentingan rakyat Kelantan dan Negara Malaysia.

Satu Lagi Projek Barisan Nasional
Selepas sidang media tersebut, Astro Awani pada malam Sabtu telah bertungkus lumus mengenengahkan isu kesediaan Nik Aziz menjalinkan kerjasama UMNO dan PAS. Astro Awani juga menemuramah pemimpin-pemimpin UMNO yang rata-rata mengalukannya.

TV3 pula dalam Buletin Utamanya semalam turut menghangatkan lagi isu tersebut.

Berita tentang kononnya Nik Aziz sudah lembut hati didalam isu kerjasama UMNO PAS juga mendapat liputan meluas media cetak.

Ianya dilihat sebagai sebuah projek Barisan Nasional mahu menjatuhkan kredibiliti Musyidul AM PAS yang sebelum ini konsisten menentang Muzakarah UMNO PAS dan gagasan Kerajaan Perpaduan. Dengan apa yang berlaku sejak Jumaat lalu, ia pasti mengelirukan penyokong PAS dan rakyat jelata seterusnya menampakkan Nik Aziz seolah-olah tidak konsisten dan sering berubah-ubah pandangan.

Menghancurkan kredibiliti Nik Aziz dikalangan ahli PAS adalah taktik UMNO bagi melenturkan pengaruh Nik Aziz dikalangan akar umbi PAS dan seterusnya menghuru-harakan suasana didalam PAS dan Pakatan Rakyat.

Walaupun Nik Aziz cuba memberikan persepsinya yang sebenar didalam sidang-sidang media selepas itu, kenyataan-kenyataannya terus diceduk diluar konteks bagi memperkuatkan niat jahat BN.

Dengan kenyataan yang dibuat dipejabatnya pagi ini menerusi TVPAS, diharap segala-gala usaha jahat BN ini berkubur.

Tidak ada pakatan dengan UMNO samada terang atau senyap

KUALA TERENGGANU, 16 Nov – Tidak ada pakatan samada secara terang atau senyap antara PAS dan UMNO kerana PAS telah pun menutup isu tersebut dan berikrar terus setia bersama Pakatan Rakyat (PR).


Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ariffin Deraman berkata, isu ‘pakatan senyap’ yang cuba ditimbulkan adalah percubaaan pihak yang ‘memusuhi’ PAS, membangkitkan semula isu kerajaan perpaduan.


"Pakatan senyap ini timbul untuk membangkitkan kembali isu ‘kerajaan perpaduan’ dan isu ini sudah ditutup, kita pun tiada apa-apa hubungan dengan UMNO," katanya ketika dihubungi Buletin Online Sabtu lalu.


Menurutnya, dalam Seminar Memperkasakan PAS minggu lalu, Presiden PAS, Dato’ Seri tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menegaskan sekali lagi, PAS akan terus bersama dan memperkuatkan Pakatan Rakyat.


Buletinonline memaklumkan, pakatan secara senyap antara PAS dan UMNO mula diperkatakan oleh pensyarah Universiti Pertahanan Nasional, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dalam blognya.


Dalam tulisannya itu, Ridhuan dikatakan menyeru agar UMNO dan PAS mencontohi pakatan senyap oleh DAP, MCA serta Gerakan yang bersama dalam satu suara.


Kata Ariffin, PAS menganggap UMNO sebagai musuh politik sebagaimana UMNO menganggapnya begitu terhadap PAS.


"Kami akan tetap menganggap UMNO sebagai musuh politik dan bersama dengan PR, tiada hubungan dengan UMNO serta tidak pernah ada hubungan dengan parti itu," katanya.


Mengulas berhubung perpaduan Melayu dan Islam di negara ini, beliau menegaskan, UMNO lah yang mesti bertanggungjawab memusnahkan perpaduan itu, bahkan UMNO juga yang memusnahkan perpaduan peringkat nasional.


Katanya, UMNO melakukan diskriminasi, menyingkirkan sesiapa sahaja yang tidak menyokong mereka tidak kira samada PAS ataupun parti-paryi pembangkang yang lain.


"Tidak kira apa bangsa dan ugama, akan dinafikan hak mereka, sekiranya tidak menyokong UMNO dan Barisan,


"Mereka kata akan memberikan keutamaan projek-projek kerajaan kepada bumiputera tetapi sebenarnya yang mendapat peluang bukan bumiputera tetapi ‘Umnoputera’ dan ‘BNPutera," jelasnya.


Menurutnya, pemimpin UMNO turut menghancurkan negara dengan majoriti daripada mereka terbabit pelbagai penyelewengan, rasuah dan kronisme menyebabkan sebahagian besar orang Melayu hilang kepercayaan mencari alternatif terbaik demi kebaikan bangsa, agama serta negara.