Saturday, December 12, 2009

Hentikan polemik BTN, saya akan putuskan: Najib

Hentikan polemik BTN, saya akan putuskan: Najib

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak mahu semua pihak termasuk Menteri Kabinet supaya tidak lagi memanjangkan polemik berkaitan Biro Tata Negara (BTN).

Perdana Menteri berkata, beliau sendiri akan menilai dan memutuskan modul BTN itu kelak.

"Saya tidak mahu memanjangkan lagi polemik BTN ini. Saya anggap semua dah bagi pandangan dan bagi pendapat. Macam-macam pendapat, macam-macam pendapat sudah pun diluahkan, cukuplah setakat ini.

"Berilah peluang untuk saya menilai modul BTN bersama-sama pegawai BTN dan kerajaan akan buat apa-apa keputusan untuk menjamin bahawa kursus BTN ini selaras dengan dasar-dasar kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Sumber Pekan, di sini

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas polemik berkaitan modul BTN yang mendapat pelbagai pandangan berbeza daripada menteri dan timbalan menteri kabinetnya serta pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya pandangan peribadinya berkenaan modul BTN itu, Najib bagaimanapun tidak menolak kemungkinan modul itu perlu diubah agar bersesuaian dengan tuntutan zaman.

"Saya nak tahu apa kandungan modulnya, kedua saya nak tengok kursus BTN ini dalam konteks zamannya. Mungkin ada kandungan itu sesuai dengan zaman tertentu dan adakalanya bila zaman berubah tuntutan berubah.

"Maka sama ada kursus BTN ini dapat memperlihatkan tuntutan ke arah perubahan, jadi apa-apa kursus termasuk kurikulum sekolah pun kandungannya tidak boleh statik kandungannya, mesti berubah ikut zaman. Jadi itulah menunjukkan kursus kita ini sentiasa dinamik sentiasa relevan," katanya.

Najib menegaskan sekiranya berlaku perubahan kepada modul itu nanti, bukanlah bermakna beliau menolak apa yang telah dilakukan BTN sebelum ini.

"Apa yang dilakukan oleh BTN kita tetap menghargai tetapi bila zaman persekitaran berubah kita mesti pastikan kandungan juga sesuai dengan tuntutan zaman dan era yang baru," katanya.

Ditanya bila beliau akan memutuskan bentuk modul itu, Najib berkata beliau akan berjumpa dengan pegawai BTN selepas pulang dari luar negara nanti.

Mengulas mengenai penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Kabinet esok, Najib berkata ia adalah sebagai pengukur prestasi menteri-menteri kabinetnya.

"Esok ini kita akan bincang dan kita akan menghalusi kandungan yang ada kaitan terutama sekali dengan 6 NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) yang saya telah umumkan.

"Ini menunjukkan bahawa pendekatan kerajaan menggunakan NKRA dan KPI ini bukanlah satu retorik politik atau jadi satu omong kosong, tapi kita benar-benar serius dan komited.

"Esok hari Ahad pun kita kerja ini menunjukkan tahap komitmen kerajaan Malaysia adalah sangat-sangat tinggi untuk menggunakan pendekatan ini sebagai satu kaedah perubahan yang begitu besar lagi berkesan," katanya.

Ditanya sekiranya terdapat menteri yang tidak mencapai tahap prestasi yang diharapkan, Najib berkata: "Kita boleh perbaiki prestasi ini, ada masa lagi dan (kalau) saya tak tegur pun, rakyat akan tegur."

Ditanya harapannya esok dalam menilai prestasi KPI itu, Najib berkata:

"Ini sebagai pengukur prestasi, maknanya setiap menteri malah kerajaan pada keseluruhannya akan diukur pencapaian kita atau pun sebaliknya dan kita akan tahu bahawa sejauh mana keberhasilan.

"Kita akan lebih terarah, lebih fokus kepada kerja utama kita, yakni untuk melakukan pentadbiran kerajaan secara berkesan tapi keberkesanan itu bergantung kepada cara kita mentadbir yang lebih terarah dan lebih fokus lagi.

"Dengan sistem ini, maka kita tidak dapat lari daripada prinsip kebertanggungjawaban atas apa yang dianggap bidang tanggungjawab kita. Yang akan menilai kita pada kesudahannya ialah rakyat." - Bernama

No comments:

Post a Comment